Sunday, September 13, 2009

KELEBIHAN,TANDA-TANDA SERTA AMALAN YANG DITUNTUT PADA MALAM LAILATUL QADAR

MUQADDIMAH

Adapun antara keistimewaan bulan Ramadhan ialah malam yang agung yang dikenali sebagai Lailatul Qadr(malam kemuliaan) dimana Allah telah menurunkan satu surah lengkap yang menerangkan tentang keadaan malam itu, kemudian Allah menerangkannya lagi pada permulaan surah Ad-Dukhaan. Maka beribadah pada malam Qadr adalah sebanding dengan beribadah selama seribu bulan. Firman Allah Ta’ala (Al-Qadr:1-3), dan dalam nisbah umur manusia,ibadah yang dilakukan pada malam ini sebanding ibadah selama lapan puluh tiga tahun empat bulan.



PENAMAAN MALAM AL-QADR

Para ulama mempunyai beberapa pendapat tentang penamaan malam Al-Qadr ini, antaranya ialah:

1. Dinamakan malam Al-Qadr atas makna ianya adalah malam perlaksanaan dan hukuman. Dalam kitab Al-Qurtubi, Mujahid telah berkata :”di dalam ayat kedua surah Al-Qadr ,Lailatul Qadr maknanya malam penilaian, dinamakan sedemikian kerana pada malam itu Allah Ta’ala akan menilai segala yang dikehendaki-Nya dari urusan-Nya kepada seumpamanya hingga tahun yang akan datang iaitu urusan maut,ajal,rezeki dan sebagainya.

2. Ada juga yang menyatakan bahawa ianya adalah malam pentadbiran/pengaturan. Dari Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma meriwayatkan: sesungguhnya pada malam Al-Qadr Allah Azza Wajalla akan menilai apa yang terjadi pada setiap tahun, dan Dia akan menyerahkannya kepada pengatur-pengatur segala urusan dan mereka ialah empat malaikat iaitu; Israfil, Mikail, ‘Izrail dan Jibril Alaihimussalam. Mereka ini akan menguruskan urusan pemanjangan(مط ), rezeki, penghidupan dan hal mematikan. Makna ini dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ad-Dukhaan, ayat 4 dan 5. dan ta’lil inilah yang dipilih oleh semua ulama.

3. Mujahid bin Jabir telah berkata;”malam Al-Qadr ialah malam hukuman/ketentuan”. Dan seorang lelaki telah berkata pada Hassan Al-Basri;”adakah engkau melihat/berjumpa malam Al-Qadr pada setiap bulan Ramadhan?” Beliau menjawab;”Ya, demi Allah yang tiada tuhan selainNya, sesungguhnya malam Al-Qadr benar-benar ada pada setiap bulan Ramadhan dan sungguh ianya adalah malam kemuliaan yang didalamnya di jelaskan setiap perkara dengan hikmah, didalamnya Allah melaksanakan segala urusan ajal,amal dan rezeki dan seumpamanya”. Begitulah juga yang dikatakan oleh Sa’eid bin Jabir rahimahullah.

4. Pendapat lain mengatakan makna malam Al-Qadr itu ialah malam kemuliaan dan keagungan. Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Al-Qadr,ayat 3 dimana dalam ayat ini ada pemuliaan dan pengagungan untuknya(malam Al-Qadr). Pemuliaan ini samada kembali kepada orang-orang yang melakukan kebaikan pada malam itu dimana sesungguhnya sesiapa yang berbuat taat pada malam itu akan menjadi seorang yang mulia dan terhormat, ataupun ianya(kemuliaan) kembali kepada amalan yang baik kerana berbuat taat pada malam tersebut lebih banyak pahalanya dan lebih mudah dikabulkan.


5. Dikatakan juga ianya dinamakan begitu kerana Allah Ta’ala telah menurunkan pada malam itu satu kitab yang mempunyai kehormatan, keatas seorang utusan/rasul yang mempunyai darjat/kehormatan, dan dikhususkan pula untuk ummat yang berkemampuan, atau sesungguhnya Al-Quran keseluruhannya telah di turunkan ke langit pada malam Al-Qadr dalam bulan Ramadhan. Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah,ayat 185. Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad pula mengulas bahawa ketika Allah berfirman dalam surah Al-Qadr, kita mendapati bahawa Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran pada bulan Ramadhan, kemudian ia di turunkan pula pada malam Al-Qadr secara lebih khusus, dan penurunan ini bermula dari Lauh Mahfuz hingga ke Baitul ‘Izzah di langit dunia.



KELEBIHAN MENGHIDUPKAN MALAM AL-QADR

Kelebihannya terdapat dalam dua hadith sohih dan selain keduanya, telah diriwayatkan dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, dari Nabi S.A.W telah bersabda; “barangsiapa yang menghidupkan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah, di ampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu” , dalam riwayat Al-imam An-Nasaie telah menambah: “dan dosanya yang akan datang”.



HIKMAH MALAM AL-QADR DI RAHSIAKAN

Allah Ta’ala telah merahsiakan malam Al-Qadr ini, dan Rasulullah S.A.W telah menjelaskan bahawa waktu yang dijangka akan berlakunya malam Al-Qadr adalah antara 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan.Justeru itu, hikmah daripada perahsiaan malam Al-Qadr ialah agar orang-orang yang beriman bersungguh-sungguh dalam beribadat sepanjang malam bulan Ramadhan dan agar mereka sentiasa meneliti dan menanti akan kehadirannya pada setiap malam.

Selain itu,antara hikmah ianya dirahsiakan ialah sebagai satu cara dari cara-cara untuk memupuk rasa asyik dan suka dalam beribadah serta menjaganya dengan baik.Oleh yang demikian akan bertambahlah kesungguhan dalam beribadah.

Hikmah penyembunyian malam Al-Qadr ini adalah serupa seperti penyembunyian waktu yang mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat, nama-nama Allah yang Maha Agung, dan rahsia Allah dalam ciptaan-Nya, redho Allah bagi hamba-hamba-Nya yang taat dan murka-Nya bagi siapa yang berbuat maksiat kepada-Nya.



TANDA-TANDA MALAM AL-QADR

Antara tanda-tanda yang paling utama yang telah di sebutkan dan di tetapkan di dalam kitab-kitab sunnah nabawiyyah adalah seperti berikut:

1. Ianya berada pada setiap malam bulan Ramadhan dan juga pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjil.
2. Pada malam itu banyak malaikat yang turun ke bumi dalam bilangan yang tidak terkira.
3. Suasana pada malam itu tenang,cuacanya pula tidak panas dan tidak pula sejuk.
4. Pada paginya pula,matahari akan kelihatan kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya,ianya terbit tetapi tidak bersina

At-toyalisi telah menyatakan dari Ibnu Abbas Radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda berkenaan dengan malam Al-Qadr; “malam yang dikabulkan segala doa ,tidak panas dan tidak pula sejuk, dan matahari pada paginya kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya ”.


Muslim telah meriwayatkan dari Zar bin Habish dari Abi Ka’ab: sesungguhnya matahari pada paginya terbit tanpa sinaran padanya,” manakala Ubai pula berkata: kami telah di beritahu oleh Rasulullah SAW: “sesungguhnya ianya terbit pada hari itu tanpa sinaran padanya”.

Adapun tanda-tanda lain yang tidak bersandarkan kepada dalil musnad sohih tetapi ianya berdasarkan pengalaman dan pengamatan individu-individu berkenaan dengan malam tersebut, antaranya ialah :

1. Air laut tiba-tiba menjadi beku
2. Tiada seekor anjing pun yang menyalak pada malam itu.
3. Keldai-keldai pula tidak bersuara.
4. Pokok-pokok kelihatan menundukkan dahan-dahannya ke bumi.
5. Terdapat cahaya yang kelihatan berkilau pada tempat-tempat yang biasanya gelap.



PENENTUAN MALAM AL-QADR

Kebanyakan hadis yang warid daripada Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawasa waktu berlakunya malam Al-Qadr secara umum,dan yang paling sohih menyatakan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan,pada 10 malam yang terakhir dan kemungkinan besar pada malam-malam yang ganjil iaitu : 21,23,25,27,29.

Al-Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Saiyidah Aisyah radiallahhuanha berkata : bersabda Rasulullah SAW : “carilah malam al-qadr itu pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan.”

Dan Al-Imam Al-Bukhari juga telah meriwayatkan daripada Ibni Abbas berkata: bersabda Rasulullah SAW :” carilah ianya pada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan,…”
Selain itu, banyak lagi hadis-hadis lain yang seumpama dengannya.



CIRI-CIRI MALAM AL-QADR

1. Ia adalah malam diturunkan Al-Quran
2. Ia adalah malam yang mana ditetapkan segala perkara daripada perkara-perkara yang akan berlaku sepanjang tahun.
3. Ia adalah malam yang lebih baik di sisi Allah s.w.t dari seribu bulan dan amalan kebajikan pada malam tersebut dilipatgandakan.
4. Sesungguh para malaikat turun ke bumi pada malam tersebut bersama dengan Ar-Ruh iaitu Jibrail alaihisalam.
5. Ia adalah malam yang aman, tenteram, sejahtera sehinggalah terbitnya fajar.



PERKARA-PERKARA SUNAT DAN ADAB-ADAB PADA MALAM AL-QADR

1. Daripada perkara-perkara sunnah yang utama yang dianjurkan ialah berazam dan berniat untuk menghidupkan malam tersebut dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
2. Dianjurkan untuk mandi pada setiap malam daripada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan,berhias-hias dengan wangian,dan memakai daripada secantik-cantik baju selepas solat Maghrib sebelum solat Isyak da Terawih. Sesungguhnya perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat dan tabiin,dan di kalangan mereka ada yang melakukannya sepanjang bulan Ramadhan.
3. Tidak menjamah makanan dan minuman yang terlalu berat semasa berbuka puasa untuk mengelakkan perasaan malas dan lesu ketika beribadah dan lemah untuk menghidupkan malamnya.
4. Memperbanyakkan doa, rintihan,memohon keampunan, kesihatan, keafiatan yang berkekalan dalam agama semasa di dunia mahupun di akhirat.Sesungguhnya Saiyidah Aishah radiallahuanha telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w berkenaan dengan malam tersebut, ”Apakah yang akan aku ucapkan apabila bertemu dengan malam Al-Qadr?Maka Nabi menjawab, “ Katakanlah : اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني))
5. Dianjurkan untuk mengejutkan ahli keluarga sama ada yang kecil mahupun yang besar bertepatan dengan hadis sohih daripada nabi Muhammad s.a.w bahawasanya nabi Muhammad s.a.w padanya mengejutkan ahli keluarganya pada malam tersebut.
6. Dan daripada perkara-perkara sunat yang dianjurkan untuk melakukannya pada malam tersebut ialah menjaga solat maghrib,isyak dan subuh secara berjemaah begitu juga solat sunat terawih dan qiam.
7. Memperbanyakkan bacaan al-quran pada malam al-qadar.Diriwayatkan bahawa Ibrahim An-Nakhie melazimi membaca al-quran dan khatam dalam bulan ramadhan pada setiap tiga hari.Dan apabila masuknya sepuluh malam terakhir beliau akan menamatkan bacaan al-quran pada setiap dua malam( iaitu beliau menambah bacaan al-quran pada malam-malam yang dijangkakan berlakunya lailatulqadar ).
8. Selain itu,dianjurkan juga pada malam tersebut untuk melakukan amal kebajikan dan sedekah.Ini bersesuaian dengan apa yang telah disampaikan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu,katanya:amalan pada malam lailatulqadar,sedekah,solat,dan zakat adalah lebih baik daripada seribu bulan.


Dikumpul dan disusun oleh:
AL-FADHIL AS-SAYYID MUHAMMAD B ALAWI
AL-IDRUS AL-HADRAMI AT-TARIMI

0 comments:

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP